Abu Ubaidah Al-Jarrah Penakluk Parsi

Posted by: Ana Mursyidah in

"Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah al-Jarrah."
- Nabi Muhammad SAW -


Abu Ubaidah al-Jarrah, atau nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin al-Jarrah bin Hilal al-Fahri al-Quraisy. Beliau merupakan seorang sahabat Rasulullah s.a.w. adalah di antara orang yang terawal memeluk Islam. Seperti sahabat-sahabat Rasulullah yang lain, beliau turut banyak berjasa dan memberi sumbangan dalam menegakkan dan menyebarkan agama Islam.

Semasa menyertai perang Badar, Abu Ubaidah al-Jarrah terpaksa membunuh Abdullah, bapanya sendiri. Walaupun beliau cuba untuk mengelakkan diri dari terserempak dan bertarung dengan bapanya, namun sikap bapanya yang nekad untuk membunuh Abu-Ubaidah menyebabkan beliau terpaksa juga membunuh bapanya. Beliau bersedih dengan kejadian itu sehinggalah turunnya ayat dari surah al-Mujadalah...

"Engkau tidak akan dapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang Allah dan Rasulullah, sekalipun orang itu bapa, anak, saudara ataupun keluarga mereka. Allah sudah menetapkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka bersyukur dengan nikmat pemberian-NYA. Merekalah penyokong agama Allah, ketahuilah penyokong agama Allah adalah orang yang berjaya."
(Surah al-Mujadalah: ayat 22)

Abu Ubaidah turut menyertai perang Uhud pada tahun ke-3 Hijrah. Kemudian, beliau menyertai tentera Islam dalam perang Yarmuk pada tahun 13 hijrah yang dipimpin oleh Khalid bin Walid. Semasa perang ini tercetus, khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia dan Umar al-Khattab diangkat menjadi khalifah yang kedua. Kemudian, Khalifah Umar al-Khattab melantik Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai Ketua Panglima untuk tentera Islam.

Seterusnya, beliau bersama angkatan tenteranya menakluk Kota Damsyik, Kota Fihl, Kota Baisan dan Kota Hims. Kemudian, perjuangan untuk menakluk Rom dan Parsi yang merupakan episod perjuangan yang dirancang semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi disambung pada zaman Khalifah Abu Bakar dan disempurnakan pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ini diteruskan dengan menakluk Kota Aleppo, Antakiah, Kota Ilia (pintu utama memasuki Al-Quds), dan akhirnya Baitulmuqaddis. Maka, Kota Syam terbentuk di bawah pimpinan Abu Ubaidah al-Jarrah.

Tidak lama kemudian, wabak taun melanda Syam. Ramai penduduk yang meninggal dunia. Abu Ubaidah al-Jarrah memaklumkan berita itu kepada Khalifah Umar al-Khattab yang berada di Madinah dan Khalifah Umar meminta Abu Ubaidah berpindah ke Madinah dengan harapan untuk melantik Abu Ubaidah sebagai khalifah selepasnya. Namun, permintaan itu ditolak oleh Abu Ubaidah berikutan lahirnya perasaan sayang kepada penduduk Syam. Pada tahun 640 masihi bersamaan 18 Hijrah, Abu Ubaidah al-Jarrah meninggal dunia kerana turut dijangkiti wabak taun tersebut.

This entry was posted on Thursday, June 11, 2009 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

1 Tukang Komen

Penakluk Rom. Tak pernah berperang di Parsi.

Post a Comment