Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Bersyukurlah kita masih dipanjangkan umur dan masih lagi dapat merasa nikmat-nikmat daripada-NYA. Aminn...
Pada 12 dan 13 September baru baru ini, satu lawatan mahabbah/ ilmiah ke IPIS telah diadakan. Lawatan anjuran JK BISA ini disertai oleh jawatankuasa BISA serta semua pelajar yang menunjukkan komitmen yang tinggi kepada BISA. Maknanya selalu datang BISA lar...
Alhamdulillah, sebaik saja kami sampai ke sana, warga IPIS menyambut kami dengan begitu baik sekali. Syukran kathira kerana memberikan kepada kami semua layanan yang istimewa..
Assalamualaikum wbt ...
Sudah 2 minggu lamanya tiada artikel baru yang saya 'post' di sini. Memang keinginan nak post artikel baru tu ada cuma banyak kekangan yang terpaksa dihadapi sejak akhir-akhir ni. Itu semua dugaan dan cabaran daripada Allah swt dalam 'menyeru kepada kebenaran dan mencegah daripada kemungkaran'.
Sesungguhnya memang kita tidak dapat lari dari cubaan dan dugaan hidup. Kadang-kadang, ianya mematangkan kita, supaya kita lebih bersedia untuk menghadapi hari-hari yang akan mendatang. Moga terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama-NYA. Sesungguhnya hanya keredhaan Allah yang diburu..
An-Najah fid dunya wal akhirah.
Insyaallah...
Begini kisahnya.....
Sedar tidak sedar, sudah 3 tahun saya mengenali awak. Tak pernah saya terfikir peristiwa memalukan saya terjatuh ke dalam longkang membuat hati kita bertaut. Terima kasih kepada Allah kerana mentakdirkan saya terjatuh dan terima kasih juga kerana Allah menggerakkan awak untuk mentertawakan saya. Jika tidak, hubungan kita tidak mungkin sampai sejauh ini. Siapa pernah menyangka peristiwa sekecil itu mampu mengikat hati dua insan. Walaupun saya dan awak masing-masing berjauhan, teknologi benar-benar mengikat kita.
Saya sedar, hari demi hari saya semakin menyenangi kehadiran awak dalam hidup saya. Saya bersyukur atas hubungan ini. Bersyukur kerana kita bukanlah seperti pasangan kekasih lain. Awak tidak pernah mengucap kata rindu, apatah lagi kata sayang. Seingat saya sepanjang 3 tahun ini, tidak sampai 5 kali kita bersua muka. Itupun tatkala awak dan keluarga datang beraya ke rumah saya. Saya juga bersyukur ibu bapa kita saling meredhai persahabatan kita. Hari demi hari, kita semakin matang. Saya semakin mengenali dunia, semakin mendalami ajaran Islam sebenar. Dulu, saya fikir hubungan kita tidak salah. Ya, memang tidak salah dari pandangan mata luar. Namun jujur jauh di sudut hati saya, saya sering merindui awak biarpun tiada siapa antara kita yang pernah melafazkannya. Pernah saya angankan awak menjadi pembimbing keluarga saya kelak. MasyaAllah, begitu jauh saya lalai. Kata-kata seorang teman suatu waktu dulu benar-benar mendorong saya berfikir panjang. “Zina hati sememangnya kelihatan kecil, namun dosanya tetap sama”.
Astaghfirullah…saya beristighfar panjang. Dengan segala kekuatan yang ada, saya katakan kepada awak. “Jangan hubungi saya lagi melainkan awak bersedia mengahwini saya”. Saya sendiri tidak pasti dengan apa yang saya lakukan. Saya sedar awak pasti kebingungan dengan kata-kata saya kerana antara kita sememangnya tiada yang istimewa. Saya juga sedar hakikatnya, awak juga punya perasaan terhadap saya biarpun awak membisu seribu bahasa. Hubungan kita terputus begitu sahaja. Enam bulan berlalu dengan amat sukar bagi saya. Setiap hari saya berdoa semoga Allah permudahkan segala yang terbaik untuk saya, semoga Allah permudahkan jika apa yang saya lakukan benar-benar keranaNya. Ingin saya katakan, betapa sukar melupakan awak.
Dalam kesibukan saya melupakan awak, tiba-tiba saya dikejutkan dengan rombongan peminangan. Andai awak dapat melihat hati saya, pastinya awak tahu betapa terkejutnya saya. Ya, awak tunaikan permintaan saya. Awak datang lagi ke rumah saya, tapi kali ini dengan sebentuk cincin. Sekarang saya sudah sah menjadi permaisuri hidup awak. Sekarang saya bebas merindui awak tanpa rasa berdosa, saya bebas berbicara dengan awak tanpa rasa bersalah dan saya bebas menyayangi awak kerana awaklah pembimbing hidup saya.
Terima kasih Allah ikatkan kita dengan tali perkahwinan biarpun pada usia muda remaja. Terima kasih Allah menghadirkan awak sekali lagi dalam hidup saya.
Jika engkau mencintai harta, harta itu nanti kau akan tinggalkan,
Jika engkau cintakan Ilahi, hanya DIA yang akan kekal abadi,
CINTAILAH ILAHI...
Rasullullah S.A.W pernah bertanya kepada iblis, "Wahai Iblis! Apakah ikhtiarmu ke atas umatku. Aku telah dibangkitkan utk menyelamatkan semua umat manusia agar beriman kepada Allah S.W.T."
Jawab Iblis: "Ya Rasullullah, demi kemuliaanmu aku akan bersungguh-sungguh menyesatkan umat manusia dari mengikuti ajaranmu. Aku akan mencampurkan lelaki dengan wanita supaya mudah aku mencelah di tengahnya."
Tanya Rasullullah lagi: "Wahai Iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?"
Jawab Iblis: "Ya Muhammad! Sebenarnya aku amat hairan dengan sikap umatmu dalam dua perkara iaitu:
Mereka mengakui menyintai Allah S.W.T tetapi pada masa yg sama mereka masih melakukan maksiat dan perbuatan munkar. Kedua, mereka sangat benci akan tabiatku tetapi mereka masih mahu mengikut segala hasutanku."
Firman Allah kepada Iblis: "Sememangnya engkau adalah makhluk terkutuk, demi kemuliaanKu, akan Aku beriakn kepada umat Muhammad dua kegembiraan iaitu: kecintaan mereka terhadapKu akan Aku jadikan penebus dosa di atas kesalahan yg telah mereka lakukan kerana helahmu. Kedua, marahnya mereka terhadapmu akan Aku jadikan penebus dosa bagi maksiat yg telah mereka lakukan..."
Maka tercenganglah Iblis mendengar penjelasan sedemikian dari Allah S.W.T. Sedarlah Iblis bahawa umat Muhammad adalah umat yang disayangi Allah S.W.T yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Wallahu a'lam...
Dengan kuasa Allah SWT, hartawan itu jatuh miskin dan keadaannya berubah sama sekali. Jadilah dia seorang yang fakir dan kemudiannya meninggal dalam keadaan yang hina sekali. Sedangkan puterinya yang masih hidup, meminta sedekah dari pintu rumah ke pintu yang lain untuk meneruskan hidup. Dia adalah seorang gadis yang sangat jelita.
Satu hari, gadis itu tiba di sebuah rumah yang sangat besar milik seorang lelaki kaya. Keluarlah ibu lelaki itu dan terpandang akan kecantikan gadis tersebut. Ibu lelaki itu menyuruh gadis itu masuk ke dalam rumahnya. Dia merasa tertarik akan kejelitaan dan kerendahan hati gadis itu dan berhajat untuk mengahwinkan dengan anaknya.
Setelah gadis itu berkahwin dengan anak lelakinya, si ibu menyediakan hidangan untuk makan malam untuk pasangan pengantin yang baru berkahwin. Namun begitu, puteri itu mengeluarkan tangan kirinya ketika makan bersama suaminya. Melihat keadaan itu, suaminya berkata, "Sungguh aku memang sering mendengar bahawa orang fakir adalah kurang pendidikan. Keluarkanlah tangan kananmu, wahai isteriku".
Puteri itu tetap makan dengan menggunakan tangan kirinya walaupun berkali-kali suaminya melarangnya. Tiba-tiba, puteri itu terdengar satu suara dari sudut pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu, wahai hamba Allah. Jika benar engkau telah memberikan roti itu kerana Allah, tentu Allah akan memberikan tanganmu kepada dirimu".
Maka dikeluarkan tangan kanannya dalam keadaan utuh dan sempurna berkat kekuasaan Allah SWT dan akhirnya puteri menghadap hidangan makan malam itu bersama suaminya.
p/s: Banyakkanlah bersedekah. Semoga segala sedekah dan amalan kita diterima oleh Allah SWT lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini...
Aminn...
BULAN DITURUNKAN AL-KITAB
Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah.
Para pakar tafsir dan hadith merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.
PERISTIWA BADAR
Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali sebagai Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Mekah dan Madinah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.
Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala yang selebihnya melarikan diri.
Peperangan ini adalah sesuatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, kurang daripada sudut kelengkapan dan berpuasa pada bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Ali Imran ayat 123 hingga 125:
Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.
ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH
Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang Islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab bolah memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad atau sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.
Malangnya dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Khuza'ah. Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza'ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad.
Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza'ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, baginda mengerahkan ratusan ribu umat Islam mara ke Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyirikin Mekah. Baginda menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apabila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan, hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat, dan rumah Abu Sufian.
Akhirnya, umat Islam memasuki Kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepada-Nya. Allah berfirman dalam Al Quran, ayat 1 Surah Al-Fath yang bermaksud,
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.
Sebahagian pakar tafsir Al-Quran memberi maksud 'kemenangan' dengan kemenangan membuka Kota Mekah.
PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK
Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tanparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas, Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab.
Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, baginda mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu Tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat Islam ketika itu benar-benar teruji. Namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Baginda sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah.
Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.
ISLAM SAMPAI KE YAMAN
Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat baginda untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.
KHALID BIN AL-WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL 'UZZA
Selepas umat Islam membebaskan Kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekelling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 Hijrah, baginda menghantar Khalid Al-Walid bagi memusnahkan patung al 'Uzza di Nakhla.
Menurut kepercayaan Arab Jahiliyyah, al 'Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al-Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al 'Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.
PENYERAHAN BANDAR TAIF
Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas baginda dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Latta yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.
PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)
Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Liberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.
Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak terfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.
PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL
Peristiwa ini berlaku selepas Subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al-Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al-Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al-Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat, Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.
TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL
Pada tahun 126 hingga 1405 Masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir ke semua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev.
Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.
Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama' pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mera ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di 'Ain Jalut.
Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.
PEPERANGAN YAKHLIZ
Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusia yang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.
TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL
Dalam sejarah moden, berlaku perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arabi-Israel 1973, Perang Oktober dan Perang Ramadhan.
Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak tahun 1948. Pada bulan Jun 1967 berlaku perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu, Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung Sinai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di Sinai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.
Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamah yang mengambilalih pimpinan operasi peperangan.
Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.
(Dipetik dari buku Ramadhan: Tetamu Yang Dinanti karangan Abdul Hadi Awang)
Pada tahun ini, 1 Ramadhan 1429H jatuh pada 1 September 2008. Maka, hari ini semua umat Islam akan berpuasa. Alhamdulillah, kat tempat belajar saya ni semua melayu Islam. Maka semuanya berpuasa dan memahami apa erti dan tuntutan puasa..
Cuma apa yang sedih, Melaka cuti pada 1 Ramadhan. Ditambah pula cuti hari kemerdekaan pada hari Ahad yang dianjakkan ke hari Selasa. Maknanya lama lar cuti. Disebabkan dengan itu, ramai pelajar kat sini yang balik ke kampung masing-masing, mengambil kesempatan untuk berpuasa dan berbuka puasa bersama keluarga masing-masing. Kawasan asrama jadi sunyi. Saya adalah antara yang merasai kesunyian tu..
Tapi, walaupun asrama sunyi dan sepi, BISA tetap meriah dengan kehadiran pelajar yang bersemangat mengerjakan solat sunat tarawikh ditambah pula dengan kehadiran Ustaz Fuad sekeluarga untuk mengimami solat Maghrib, Isya' dan solat sunat tarawikh. Semoga BISA akan terus meriah dan lebih meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar yang akan pulang ke asrama..
AMIN....
