Di sebuah kampung, tinggal seorang tua bersama tiga anak lelakinya. Isteri beliau telah lama meninggal dunia. Anak yang pertama bernama ANIS, kedua bernama HARBEN dan yang bongsu bernama AMSAL. Harben, anak yang paling disayangi hingga tidak dibenarkan keluar rumah. Lelaki tua ini pun sayang kepada si Anis dan kadang-kadang dibawanya keluar rumah, ke pekan, ke penambang dan sekitar kampung. Tetapi anak bongsunya, Amsal, langsung tidak diendahkan sehingga anak itu terbiar dan merayau ke merata kampung. Tubuhnya kurus dan tidak terurus kerana tidak mendapat makanan yang berkhasiat.
Suatu hari, raja yang memerintah jajahan itu mengarahkan agar si tua menghadap di istana. mendengar perintah itu, lelaki tua berkenaan berasa susah hati melihat keadaan dirinya yang uzur. Beliau terpaksa mengayung penambang untuk ke istana raja. Kerisauan itu turut bertambah disebabkan tidak mengetahui kehendak sebenar raja itu.
Maka, beliau pun mendapatkan bantuan dari anak sulungnya, Harben. "Tolong hantarkan ayah ke pulau seberang kerana raja memerintahkan ayah menghadap, boleh nak?"
Harben menjawab, "Minta maaflah ayah, Harben tidak tahu jalan ke istana. Harben boleh hantar ayah sampai ke pintu rumah sahaja, ayah!"
Sedih hati si ayah mendengar jawapan anak kesayangannya itu. Si ayah pun meluahkan hajatnya kepada si Anis. "Tolong hantar ayah ke pulau seberang, Tuanku nak ayah menghadap. Boleh kan?"
Jawab si Anis, "Minta maaf ayah, Anis tak pernah keluar dari kampung ini dan tidak tahu bagaimana caranya untuk ke sana. Anis boleh hantar ayah sampai hujung kampung ini saja."
Bertambah sedih hati si ayah mendengar jawapan seorang lagi anak kesayangannya itu. Oleh kerana tiada pilihan lain, lelaki tua itu menemui si Amsal.
"Hei, Amsal! Tolong hantarkan ayah ke pulau seberang, ayah nak menghadap Tuanku."
Amsal menjawab tanpa alasan. "Baiklah, ayah."
Harben menghantar ayahnya sampai ke pintu pagar rumah. Anis pula menghantar ayahnya hingga ke penambang. Kemudian, si Amsal yang menemani ayahnya menaiki perahu menuju istana raja.
Malangnya, ribut taufan melanda dalam perjalanan itu. Si ayah ketakutan melihat keadaan dirinya yang tidak sekuat dulu dan si Amsal pula kurus kering. Maka, dengan takdir Tuhan, mereka karam dan tenggelam dalam lautan itu.
***************
Oleh itu, dalam kita mengejar cita-cita di dunia ini, jangan abaikan bekalan untuk kehidupan akhirat. Laksanakan apa yang wajib diikuti amalan sunat dan tinggalkan larangan Allah sepenuhnya. Berusahalah menjadikan diri kita sebagai hamba yang benar-benar bersedia menemui Allah Rabbul Jalil, suatu saat nanti...
~Sekadar Peringatan~