Cerpen : Darul Taqwa (siri 3)

Posted by: Ana Mursyidah in

Datuk Dr. Johari, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan dapat disembunyikan. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya yang hebat itu, dia masih kelihatan kolot...

Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johari. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya, satu butang berwarna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar - KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYELESAIAN dan IZRAEL DATANG TIBA-TIBA.

Oh.. Oh.. Seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ni? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr. Johari. Dia beralih ke butang hijau, tanpa berlengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer - RAJA. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA serta KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI.

Kepala Datuk Dr. Johari makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni?

"Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

"Nanti ya pak cik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda sekarang..."

"Ya, ya.. Saya setuju," balas Datuk Dr. Johari. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin mendengar lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran bergema...

"Eh.. Ni suara orang mengaji."

"Nanti dulu pak cik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah coklat itu sambil matanya ditutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema...

"Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta... Stanza hati merindui Ilahi!"

Datuk Dr. Johari tak tahan lagi. Dia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

"Maaf tuan, duit ni duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah..." Datuk Dr. Johari makin geram. Dia mendengus dan berkata, "Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia menghulurkan kad kredit warna keemasannya. "Maaf sekali lagi tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah."

bersambung...

This entry was posted on Friday, October 10, 2008 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 Tukang Komen

Post a Comment