Showing posts with label cerpen. Show all posts

Cerpen : Calon Soleh (siri akhir)

Posted by: Ana Mursyidah in ,

"Aku tidak menafikan manusia itu memerlukan cinta sebab cinta itu kurniaan yang indah oleh Allah. Tapi jangan rosakkan cinta itu dengan kelalaian hatimu dalam mempertimbangkan antara yang abadi dan bersifat sementara. Cinta manusia hanya sementara, jadikanlah ia penyuluh untuk dirimu meraih syurga Allah. Takkan kau temui cinta hakiki selagi kau tidak membuka mata hatimu untuk mencari cinta abadi yang telah wujud dalam dirimu sejak azali..."

"Aku takkan sedih jika kau kecewa dengan hatimu yang tidak kuat menyintai Allah kerana kau takut untuk mendapatkannya." Dia melepaskan satu keluhan.

"Tapi aku akan terlalu sedih jika kau lemah hanya kerana cinta manusia biasa. Tidak terbanding dengan cinta yang terlalu agung itu. Kau terlalu lemah, sebab hatimu terlalu lemah untuk membuka mata hatimu melihat kepastian cinta yang sebenarnya."

Pengakhiran ceramah cinta itu, dia berlalu tanpa memandang wajahku. Angah kulihat menitiskan air mata. Kenapa? Terbit persoalan itu.
"Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah," terluncur kata-kata daripada Angah yang tidak pernah aku jangkakan.

Malam itu lama aku bermunajat dan berteleku di atas tikar sejadah. Kalam mulia itu kembali inti dibibir. Tidak hanya sekadar meraung seperti kebiasaannya. Malam itu menyaksikan air mata lelakiku tumpah jua akhirnya biarpun ia bukan yang pertama. Tapi kali ini ia tumpah pada yang berhak. Menangisi kepasifan dan kedaifan diri ini...

Serasanya, itulah kali pertama aku merasakan akulah insan yang terlalu bodoh, mendambakan cinta yang hanya memberikan aku kesakitan. Tapi, Dia masih menyayangi diriku ini. Dikirimkan seorang insan untuk menegur kealpaanku.

Dialah yang menyedarkan aku. Tapi aku tahu ucapan terima kasih itu takkan dia terima sebaliknya dia pasti akan menyuruh aku menyanpaikan ucapan terima kasihku pada yang jauh lebih berhak.. pada Allah.


Benar. Kata-katamu itu terlalu benar. Itulah kisah tiga tahun lepas. Kini aku sudah mampu tersenyum. Tersenyum kerana aku sebenarnya sedang cuba untuk meraih ciri-ciri calon soleh yang pernah singgah di pendengaranku ini dan aku takkan berputus asa, takkan malu memohon pada-Nya moga akulah calon soleh untuk meraih cinta-Nya yang abadi.


Kepada sepupuku, Mardhiah Alias.. terima kasih atas sindiran sinismu itu. Terlalu pahit namun kemanisan iman itu sudah kutemui. Husna, juga ucapan terima kasih buatmu kerana jika dia tidak memutuskan hubungan itu, pasti aku terus hanyut dan takkan mengenal hakikat diri.


SMS Husna kubalas...
"Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar akal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah s.w.t..."


...TAMAT...

Cerpen : Calon Soleh (siri 3)

Posted by: Ana Mursyidah in ,

Aah, biarkan saja apa kata perempuan itu..!!! Bukan awak yang merasa pedihnya hati ini. Mudah benar membuat rumusan yang tidak adil itu. Cuba kena pada batang hidung sendiri, meraung dibuatnya...!

"Benar, yang merasa semua kepedihan itu hanyalah awak. Kami yang memandang rasa serabut. Tengok keadaan awak, konon-konon bercita u
ntuk berjuang di medan sampai jihad nun di Palestin, tapi baru dijengah mehnah sebesar zarah ini, sudah mahu tumbang! Aduhai lelaki, kau bukan calon soleh untuk bercita-cita menagih syahid di medan sana!"

Bulat mataku memandang wajah mulus bertudung labuh itu. Sapaannya di rembang itu ketika berselisih di dapur rumah Opah menyemarakkan lagi khutbahnya. Aku hanya memandang. Ingin aku membalas tapi memandangkan Angah yang tersengih di sebelahnya, aku memujuk diri supaya menerima sahaja hamburan kata-kata itu.


"Berapa lama kau mengenali perempuan itu? Pastinya tidak selama kau mengenali Penciptamu, benar bukan? Cinta yang kau sendiri tidak pasti arah tujuan itu benar-benar berjaya menumbangkan semangat juangmu kepada dunia. Cinta duniawi itu telah berjaya!!!"

Aku mencebik dan tersenyum sinis.


"Kau tidak percaya!? Lihat sahaja dirimu itu.. Mengalahkan ayam mati bini!!"


Mungkin! Aku mengiyakan walaupun hanya di dalam hati akan kebenaran kata-kata itu. Melihat keadaan aku, memang sahlah seolah-olah menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam wad gila. Setahun aku mengayam kasih bersama Husna, akhirnya aku ditinggalkan setelah aku menyerahkan seluruh kepercayaan aku pad
anya. Alasan yang cukup pasif pada bicaraku, menerima calon yang diusulkan oleh keluarganya. Sukar bagi aku untuk menerima hakikat itu. Dan inilah habuan yang aku terima. Pelajaran yang entah kemana, kehidupan yang tidak terurus. STAM yang bakal menyapa tidak kurang dari dua bulan lagi dan aku tidak menjanjikan pada keluargaku bahawa kejayaan bakal kuraih. "Kau terlalu naif!" Aku tersentak. Benarkah???

"Lihatlah wajah-wajah abahmu, ummimu dan lihatlah dengan mata hatimu... ISLAM!! Golongan sepertimu adalah yang paling disukai oleh musuh-musuh Islam. Lihatlah kebenaran, musuh-musuh Islam tidak pernah takutkan senjata kita, tetapi mereka sangat takutkan semangat dan roh jihad yang ada pada kita orang Islam! Tapi lihatlah jihadmu sudah terkulai layu. Kau takkan mampu menentang jihad nafsumu dalam dirimu.." mendatar kalimah itu.


"Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan kalamuLLAH itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhluk-Nya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu."

Aku meneliti bait-bait kata yang terlontar...



...BERSAMBUNG...

Cerpen : Calon Soleh (siri 2)

Posted by: Ana Mursyidah in ,

Dia kembali kepadaku, seperti yang pernah dilafazkan oleh teman akrabku, jika hatiku benar-benar mengasihinya, dia pasti akan kembali kepadaku. Benar teman, kini dia kembali!

"Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan..."
. Ya, aduhai! kata-kata yang membuatkan darahku tersirap. Pedih!! Nak kata ia dilafazkan oleh seorang perempuan. Cis, bengang sungguh ketika itu! Disapa oleh sepupu yang kukira paling 'bengkeng', garang dan sombong. Jarang benar mencernakan senyuman. Hanya wajah selamba yang dipamerkan.

Ini semua Angah punya pasal! Dicanangkan seluruh family ketika syura keluarga akhir bulan itu. Malu sangat! Mahu rasanya disumpah Angah menjadi katak yang paling hodoh!!! "Belajar di Maahad untuk menjadi pencinta manusia yang lemah ke? Rugi Ayah Chik menghantar awak belajar di sana."

Sibuk sungguh kau perempuan. Hatiku yang parah ini kau simbah dengan limau nipis. Memang kau perempuan yang tidak mengerti. Tiada daya lagi untukku menjawab setiap peluru bicara yang dihamburkan oleh gadis berwatak serius itu. Ya, kau menang!!! Akurkah aku dengan setiap patah kata-kata yang begitu melukakan hati... Tapi sukar untukku nafikan kerana maujud kebenaran dalam senjata bicara itu. Benar, aku insan dhaif yang lemah... Lemah dengan cinta manusia yang sia-sia. Aku tertunduk lesu....


"Awak sekadar mengejar cinta yang tidak pasti akan kejayaannya. Dia juga manusia yang lemah sama seperti awak, ciptaan daripada hinanya air mani. Mengapa perlu dikejar cinta daripada insan yang hanya mengerti makna keseronokan semata-mata."


"Tidak salah jika saya mengatakan cinta yang awak dambakan itu adalah salah satu daripada acuan lagenda agung kononnya, Romeo dan Juliet, atau Laila dan Majnun. Apa kurangkah lagenda cinta Islam untuk awak jadikan role model?"


"Apa kurangkah kisah-kisah cinta Islam yang mampu awak lihat dan ambil iktibar atau awak yang sengaja membutakan mata dan hati!!? Takkan ada yang mencebik andai cinta yang awak kejar seagung cintanya Rabiatul Adawiyah, seteguh kalimah syahadah Bilal bin Rabah dan seindah kasihnya Handzalah."


Bisa benar kata-kata mulut mungil itu. Aku dikatakan buta mata dan hati!!? Benarkan telahan gadis itu?


...BERSAMBUNG...

Cerpen : Calon Soleh (siri 1)

Posted by: Ana Mursyidah in ,

Dikelilingi timbunan nota-nota kuliah, menjelang imtihan yang menyesakkan jiwa bukanlah perkara baru dalam hidupku semenjak bergelar mahasiswa IPTA utara ini. Bermusafir menjejak ilmu perekonomian yang hampir tamat destinasi pengajian sarjana mudaku ini.

Malah bukan perkara yang ajaib jika tidur pun berselimutkan helaian nota. Menjeling sejenak salinan tesis pelengkap pengajianku. Aduhai... Tidak kunafikan ia menuntut masa 24 jam 1 minit sehari. Memerah otak yang masih punya tanggungjawab lain untuk menerima input ekonomi untuk dihadami.


Serabut??!!! Tapi, berkat kesabaran, ketidak jemuan menapak ke aras
3 Fakulti Ekonomi yang menyisipkan 1001 kenangan, berbincang dengan penyelia, Dr. Zairy adalah ramuan yang kutumiskan dalam karya hak milik terpelihara ini. Senyumku tanda puas. Syukur ya Allah...

Menerima SMS tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan lewat 2 hari lalu, sedikit sebanyak membuatku terganggu.

"Apa khabar Zaid di sana? Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatanNYA. Maaf, sekiranya SMS ini mengganggu. Masih ingatkah Zaid pada Husna?"

Husna. Mana mungkin nama itu padam dalam diari hatiku ini. Nama yang menyepi hampir 3 tahun lepas seusia dengan tahun pengajianku di sini. Nama yang mencatatkan kelukaan pada hati ini. Nama yang mengukir kenangan manis, tatkala menerima balasan pertama kali untuk mendekati gadis ini ketika di tingkatan 4, Maahad Johor. Namun, khabar yang kuterima di pertengahan semester pengajian untuk mengambil peperiksaan STAM membuatkan aku terkedu. Lantas ku atur langkah menuju ke utara, cuba untuk mencari ketenangan bagi kelukaan ini.


"Zaid, maafkan Husna. Husna masid menyayangi Zaid. Perasaan Husna masih segar seperti 5 tahun yang lepas....."


Aku tersenyum membaca SMS yang kedua. Senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. Mungkin aku mendabik bahawa aku menang!



...BERSAMBUNG...


Cerpen: Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri Akhir)

Posted by: Ana Mursyidah in

Hari berganti hari... Minggu berganti minggu... Bulan berganti bulan... Tahun berganti tahun... Akhirnya, Farah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM. Dengan takdir Allah SWT, dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, tempat yang menjadi idamannya dan Aina sedari kecil. Namun begitu, kisah 5 tahun yang lepas tetap tidak luput dari ingatan Farah. Dia redha dengan semua itu. Dia pasrah, kerana dia tahu tentu ada hikmah di sebaliknya. Kasihnya pada Aina tidak pernah pudar dari sanubarinya.

Setibanya di Mesir, Farah terus mencari penginapan yang berhampiran dengan Universiti Al-Azhar. Setelah menemuinya, Farah diberitahu bahawa bilik yang akan disewanya sudah berpunya. Ini bermakna Farah harus berkongsi.

"Maafkan saya, boleh saya tahu siapa teman sebilik saya?" Farah bertanya kepada pemilik rumah itu, dalam Bahasa Arab.

"Aina dari Malaysia," jawab pemilik rumah itu. Ringkas.

'Ya Allah, dugaan apa pula ini. Sekali lagi aku diuji sebegini, dengan nama yang serupa,' Farah bermonolog sendirian.

Kebetulan nama rakan sebiliknya sama dengan nama Aina. Datang dari Malaysia pula. Farah berharap agar rakannya ini sama seperti Aina, peribadinya... Akhlaknya juga turut sama. Itu harapan Farah!

"Assalamualaikum," ujarnya lembut, setelah sampai di hadapan pintu biliknya.

"Waalaikumussalam," Farah mendengar satu suara dari dalam bilik, lembut. Kemudian, pintu bilik itu dikuak. Hati Farah berdebar-debar.

"Aina....."

"Farah......"

Kedua-duanya saling berpandangan.

"Aina, bukankah enti dah ........... ?"

"Itu sangkaan enti je," ujar Aina. Mereka saling berpelukan. Kerinduan yang amat mendalam.

"Bukankah ana pernah kata, 'Jika kita berpisah kerana Allah, maka kita akan bertemu semula di bawah lembanyung keredhaan-NYA," tingkah Aina lagi.

'Ya Allah, terima kasih. Syukran kathira atas kurniaan-MU. Mungkin Kau ingin menguji aku pada kali pertama dulu, dan sekarang, Kau anugerahkan aku 'saidah', 'sakinah', 'insyirah' dan 'najihah'... Sudah berapa kali air mata ini gugur kerana -MU, Ya Rahman, Ya Rahim..."

Dosa-dosaku, bagaikan pepasir di pantai...
Dengan rahmat-MU, ampunkan daku, oh Tuhanku...

~Sahabat sejati sukar dicari. Kawan ketawa berlambak sana-sini, yang sedih satu daripada seribu... Dan yang mulia di sisi Ilahi~


.....TAMAT.....


idea asal: anjang asmaq
olahan semula: amaljihad


amaljihad: Tahniah buat Anjang akan melanjutkan pelajaran ke Jordan pada bulan 9 ini. Moga sentiasa bahagia dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Buat sahabat-sahabat yang mengenalinya, marilah sama-sama kita doakan beliau.

Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 8)

Posted by: Ana Mursyidah in

"Assalamualaikum..." suara Farah lembut memberi salam kepada tuan rumah. Dari dalam kedengaran suara nyaring menyambut salamnya. Bunyi derapan kaki semakin hampir. Kemudian pintu dikuak.

Kelihatan seorang wanita pertengahan umur menyambut kehadirannya. Farah mengagak itu adalah ibu Aina. 'Cantik, sepertimana cantiknya Aina,' detik hati Farah. Farah senyum dan terus menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Puan Halimah.

Puan Halimah menjemput Farah masuk dan mempersilakannya duduk di sofa merah buatan Itali sementara meminta diri untuk ke dapur. Farah melabuhkan punggungnya di sofa dan memerhatikan keadaan sekeliling rumah itu. Besar dan indah sekali, tapi sunyi sepi.


Tidak lama kemudian, Puan Halimah datang dengan menatang dulang berisi dua gelas besar air
sunquick.

"Silakan minum, nak," jemput Puan Halimah sambil menghulurkan segelas minuman kepada Farah. Farah senyum seraya mengucapkan terima kasih. "Boleh mak cik tahu apa hajat anak ke mari?"

Farah berfikir dan cuba untuk menyusun bicara. "Mak cik, dua hari lepas saya ada terima surat dari Aina yang datangnya dari Paris. Apa yang Aina buat kat sana, mak cik?"


"Anak ni tentu Farah, kan?" Farah mengangguk, lemah. "Sebenarnya sudah lama mak cik menyimpan rahsia ni. Mak cik tahu, Farah tentu sudah lama menderita. Surat yang Farah terima tu, mak cik yang hantarkan atas permintaan Aina sebelum dia berangkat ke Paris. Aina sebenarnya...." kata-kata Puan Halimah terhenti seketika. Kelihatan ada mutiara jernih yang bergenang di kelopak matanya.


"Aina sebenarnya menghidap penyakit barah otak. Dia ke sana untuk menerima rawatan lanjut, tapi mak cik dengar.... Aina sekarang...," bicaranya terhenti setakat itu. Puan Halimah menundukkan mukanya ke lantai, mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Farah. Farah seolah-olah dapat membayangkan apa yang telah berlaku.


"Mak cik, jangan teruskan ungkapan yang terakhir. Jangan biarkan ia terkeluar dari bibir mak cik," ujar Farah, sedih. Setitis demi setitis mutiara jernih gugur dari kelopak matanya yang bundar.

"Tapi Farah...," ujar Puan Halimah.


"Tidakkkk...."


Serentak dengan itu, lagu 'Kau Sahabat Kau Teman' berkumandang di corong radio saluran IKIM yang terpasang sejak tadi.

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir Yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Mamori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati


Farah terus meluru keluar dari rumah Aina dengan perasaan yang amat sedih. Tamparan itu maha hebat baginya. Tidak disangka penantian yang begitu lama dibalas dengan kehilangan Aina dari dunia ini buat selama-lamanya....



...BERSAMBUNG...

Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 7)

Posted by: Ana Mursyidah in

Tanpa membuang masa, Farah terus membuka surat itu. Lipatannya kemas, tulisannya elok...

Assalamualaikum, temanku Farah...
Ana minta maaf sebab dah lama tak kirimkan khabar. Ana juga membuat kesilapan kerana memutuskan talian ukhuwah antara kita hampir setahun. Ana masih menganggap Farah teman sejati ana. Ana mengharapkan Farah sama seperti ana.. Masih ada perasaan ukhuwah. Sesungguhnya jika kita berpisah pada hari itu kerana Allah, maka kita akan bertemu kembali. Itu adalah janji Al-Kuddus yang pasti. Andai kata ini adalah surat dan pertemuan kita yang terakhir, janganlah Farah bersedih hati. Ingatlah pada-NYA. Moga Farah tergolong dalam golongan 'maridhallah'... Orang-orang yang diredhai Allah... Amin...

Temanmu,
Aina Syahirah


Perasaan Farah berbaur gembira dan sedih. Gembira.. kerana akhirnya dapat juga dia 'bertemu' dengan Aina walaupun hanya melalui surat. Sedih.. kerana perkataan 'pertemuan kali terakhir' dalam surat Aina membuatkan hatinya berdegup kencang. Pelbagai soalan berlegar-legar dalam kotak fikirannya.

Farah nekad, dia akan menemui ibu bapa Aina untuk meleraikan segala persoalan yang selama ini tersimpul di benakknya.

"Hujung minggu ini adalah waktu yang paling sesuai.. Ya, paling sesuai!!" Farah bermonolong sendirian...



... BERSAMBUNG ...

Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 6)

Posted by: Ana Mursyidah in

"Nama saya Aina Afiqah..." Farah terkejut. Bukan Aina, temannya yang dicari-cari selama ini. Mukanya segera diangkat. Memang sah. 'Aina' itu bukan Aina.

Hatinya kembali pilu. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusinya semula. Dia merasakan kamar hatinya sekian lama semakin sepi .. dan suram.
Sejak perpisahannya dengan Aina, dia mula menyepikan diri. Jiwanya kosong. Dia mahu mencari seseorang yang dapat mengubat hatinya serta menemani kekosongan yang ada.

Semalam, ada seorang pengawas datang ke kelasnya sewaktu program 'Sahsiah Pelajar' serta memberi tazkirah. Balqis Batrisya namanya. Katanya - Ubat yang paling mujarab sewaktu berada di dalam kesusahan ialah Zikrullah - Jadi, dia mengubat hatinya, membasahi lidahnya dengan berzikir... Ingat kepada Ar-Rahim. Mudah-mudahan dia akan kembali bertemu Aina.
"Memang aku banyak kekurangan. Aku tidaklah secantik Ratu Balqis... dan Atiqah semasa zaman para anbia'. Kalau diukur ketabahan, aku tidaklah setabah Sumayyah dan Bilal bin Rabah. Dari segi keilmuan, aku tidak sebijak Saidina Ali dan Imam Shafie. Jika dari sudut keberanian pula, aku tidaklah sehandal dan setangkas Saidina Umar dan Saidina Hamzah. Dan kalau diukur dari semua aspek itu, aku rasakan diriku sangat rendah apatah lagi jika dibandingkan dengan Rasul Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah sepanjang zaman...." Farah jauh mengelamun.

"FARAH...!!!" kuat Mira menjerit, mengejutkan Farah dari lamunannya. "Ni, awak dapat surat, dari Paris," tambah Mira lagi, mesra.


"Paris...?" Farah cuba mengingat kalau-kalau dia ada sahabat di sana. Serasanya, dia tidak punya sahabat dari Paris.

"Farah lain kot..."
Mira menafikan lalu menunjukkan surat yang dipegangnya. Farah dapat melihat namanya tertera di atas sampul surat itu - Mujahidah Farah Najiha Mokhtar - Farah cuba memikirkan siapa gerangan yang mengirimkan surat untuknya dari Paris....



...BERSAMBUNG...


Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 5)

Posted by: Ana Mursyidah in

Cerita kartun... Kisah seekor itik dan seekor arnab. Berlainan jenis, keturunan dan bangsa... Namun itik dan arnab itu menjadi sahabat baik dan hidup dengan gembira sekali. Tiba-tiba, sang arnab jatuh ke dalam air, lalu sang itik segera menolongnya.

Farah menonton kartun itu selama 15 minit. Di saat matanya terpandang tajuk cerita kartun itu, hatinya menjadi sebak. Wajah yang gembira sebentar tadi berubah menjadi sedih. 'FRIENDSHIP FOREVER'... Tajuk yang bisa menggegarkan tangkai jantungnya.

Keesokan harinya, Farah pergi ke sekolah seperti biasa. Dia melangkah longlai menuju ke kelasnya. Kalau boleh, dia tidak mahu ke sekolah pada hari itu. Fikirannya sangat cangkaliwang. Dipenuhi dan dipadati dengan kerunsingan masalah persahabatan. Sesampainya di kelas, Farah segera meletakkan beg sekolahnya lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia senyap seribu bahasa, malas hendak menyapa rakan-rakannya.

Namun, Farah merasakan kelainan pada hari itu. Ya!! Ada meja dan kerusi kosong yang diletakkan bersebelahan mejanya. Hatinya tertanya-tanya sendirian. "Ada pelajar barukah?"

Beberapa minit kemudian, Farhanis dan Atikah mendekati mejanya. "Farah, awak tak berkenalan dengan pelajar baru ke? Kalau tak silap, namanya Aina..." ujar Atikah.

Fikiran Farah ligat memikirkan sesuatu. Secara tidak semena-mena, dia menguntumkan secangkir senyuman, manis sekali. Hatinya berbunga mekar. Dia terus mengorak langkah menuju ke suatu sudut . Di situ, dilihatnya ramai rakan-rakan sekelasnya mengerumuni seseorang.

Farah pantas menjenguk kepalanya di celah-celah rakannya. Kepalanya belum dapat diangkat, namun dia terus mengajukan soalan...

"Apa nama kamu?" ajunya tidak sabar. Farah berharap nama yang akan disebut nanti ialah Aina Syahirah..


...BERSAMBUNG...

Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 4)

Posted by: Ana Mursyidah in

Farah teringatkan sepotong hadith yang ada menyebut...

"Sesungguhnya apa yang kita suka atau sayang tidak semestinya baik pada kita dan apa yang kita benci tidak semestinya buruk buat kita."

Farah membandingkan hadith itu dengan persahabatannya bersama Aina. Adakah Aina tidak ditakdirkan untuk menjadi teman sejatinya? Itu semua sememangnya telah lama ditetapkan di Luh Mahfuz lagi.

Tapi, sebagaimana apa yang telah dipelajarinya ketika di tingkatan 3, qada' itu sememangnya telah ditetapkan namun, qada' itu terbahagi kepada 2 jenis iaitu Qada' Mubram iaitu qada yang tidak boleh diubah misalan kematian dan paras rupa; serta Qada' Muallaq, qada yang boleh diubah dengan usaha seperti kejayaan, kegagalan dan juga persahabatan.

Jadi, jurang antaranya dengan Aina pasti dapat dirapatkan dan dapat diselamatkan walaupun jurang yang wujud tidak sedalam Jurang Mariana di Filifina.

Farah pernah terbaca suatu mutiara kata-kata....

"Persahabatan yang sejati itu lahir dari hati nurani yang ikhlas, kepercayaan antara kedua-duanya dan kasih-sayang antara satu sama lain. Dengan izin Allah, pasti akan membuahkan hasil yang lumayan. Jalinan persahabatan yang dibina pasti dapat dilestarikan andai konsep atau rukun ukhuwah yang ada, dituruti. Taaruf... Tafahum... Takaful..."

Farah menghenyakkan punggungnya di atas sofa di ruang tamu. Dia menekan punat 'remote control' untuk menghilangkan rasa 'tension'nya itu. Mula-mula ditekannya 'channel' NTV7 kemudian TV1, TV2 dan selepas itu TV9. Namun, semua rancangan yang ada langsung tidak memuaskan kehendaknya. Rasa bosan mula bertapak di sanubarinya. Dipaksanya juga untuk menekan 'channel' yang terakhir... TV3.

Tiba-tiba, mata Farah tertumpu pada skrin televisyen. Cerita yang ditayangkan amat menarik perhatiannya...



BERSAMBUNG...

Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 3)

Posted by: Ana Mursyidah in

Salahkah aku memilihnya menjadi temanku...?? Salahkah aku mengasihinya seakan-akan saudaraku..?? Salahkah aku mentakhtakan dan menobatkan dia sebagai juara yang memenangi hati ini..?? Salahkah???

"Aina, andaikata diri ini pernah mengguris hatimu, melukakan jiwamu dan seterusnya meluputkan ikatan persahabatan kita yang terbina sejak setahun yang lalu, maafkanlah dan ampunkanlah diri ini. Terimalah aku kembali sebagai temanmu," ungkap Farah jauh di lubuk hatinya. Ingatannya terhadap Aina tidak pernah luput dan wajahnya sentiasa menari-nari di mindanya.

"Hidup tak selalunya indah..
Langit tak selalu cerah...
Suram malam tak berbintang...
Itulah lukisan alam...
Begitu aturan Tuhan..."

Farah menghela nafas panjang. Dia mendongak ke atas, melihat siling biliknya. Dia merebahkan dirinya di atas katil empuk buatan Jerman yang dihadiahkan oleh ibunya sempena ulangtahun kelahirannya yang ke-16 sekaligus kejayaannya memperoleh 9A dalam PMR tahun lepas. Dia merasakan hidup ini sangat tidak bermakna tapi apabila mengenangkan Tuhan Rabbul Izzati dan kasih sayang keluarga padanya, hatinya bersemangat semula untuk hidup.

Kadang-kadang, Tuhan menyelaputi hidup kita dengan kekayaan yang melimpah-ruah, supaya kita berfikir dan ingat pada keagungan, kemurahan dan kebesaran-NYA... Kadang-kadang, Ar-Rahman menyulitkan kita dengan menimpakan bala, kesusahan dan kemiskinan agar kita mempunyai kelapangan serta ruang untuk lebih mengabdikan diri kita kepada 'Kholiq', sentiasa berzikir mengingati semula kesenangan yang kita kecapi walaupun sementara sewaktu diri kita bergelumang dengan kemewahan hidup. Sesungguhnya kehidupan yang miskin lebih baik daripada dirantai oleh kemewahan yang membebankan.

Ingatannya terhadap Aina kembali menjelma di benaknya...



... BERSAMBUNG ...

Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 2)

Posted by: Ana Mursyidah in

Tiba-tiba matanya berkaca. Akhirnya gugusan permata jernih yang ditahannya gugur membasahi pipi mulusnya. Tatkala sanubarinya teringatkan lagu itu, jiwanya pasti terkenangkan Aina... Ini kerana lagu itu turut mengiringi pemergian Aina dari sisinya. Aina Syahirah... Namamu subur di mindaku. Akhlakmu menjadi perintis untukku berubah..

Seperti biasa, apabila pulangnya Farah dari asrama, telefon di rumah pasti menjadi temannya yang setia. Tidak ada orang lain yang dihubunginya melainkan Aina, teman yang amat istimewa buatnya.

Kata orang, kawan, sahabat dan teman memberikan istilah dan erti yang berbeza. Farah mengimbau kembali semua 'student' perempuan dalam kelasnya. Baginya, kesemua adalah setakat kawan. Hatinya bermonolog sendirian.. Siapa pula yang akan dianggapnya sahabat. Mungkin Aqilah, Farhanis, Atikah dan juga Mira. Mereka sentiasa mengucapkan kata-kata semangat serta merungkaikan segala permasalahan yang bertakhta di jiwanya. Dan.. teman.. siapa pula yang bakal menjadi ratu dalam sukma hatinya. Dia memandang bingkai gambar yang terletak di atas meja beralaskan kain sutera berwarna biru kehijauan itu..

Hatinya dirundung pilu. Dia menunduk mukanya memandang lantai mozek berbunga milik biliknya. Gugusan permata jernih makin lebat mengalir di pipinya. Dia menyeka air matanya dan menuju ke arah jendela. Ditongkatnya dagu sambil memandang hamparan laut yang biru, pepasir di pantai yang memutih, pohon kelapa dan pohon rhu yang hijau melambai-lambai serta awan putih yang berarak di langit dengan riangnya. Dia mentafsir semua itu sendirian...

Akukah yang bersalah...??

... BERSAMBUNG ...

Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 1)

Posted by: Ana Mursyidah in

"Pertemuan kita di suatu hari,
Menitipkan ukhuwah yang sejati,
Bersyukur ku kehadrat Ilahi,
Di atas jalinan yang suci..."

Terdengar sahaja lagu 'Doa Perpisahan' nyanyian kumpulan Brothers itu, hatinya tersentuh. Melalui lagu itulah, dia berkenalan dengan Aina, bersahabat dengannya, seterusnya menjadi temannya yang paling rapat. Fikirannya menerawang jauh mengingatkan detik-detik manis perkenalan singkat antara dia dan Aina.

Ketika itu... Dia mengikuti lawatan ke Maahad Darul Quran. Secara tak semena-mena, dia terserempak dengan seseorang. Dari kejauhan dia sudah kagum akan perwatakan fizikalnya... Bertudung litup, berjubah, bersarung kaki dan... yang paling manis sekali ialah senyuman mesra yang tidak lekang terukir di bibirnya. Namun, itu belum cukup untuk memuaskan suara hatinya. Dia segera mendekati gadis misteri itu.

"Assalamualaikum," sapanya mesra. Kenalan misterinya berpaling sambil salamnya disambut mesra dengan senyuman manis yang masih terpahat di bibirnya yang mungil.

"Saya.. Farah Najiha binti Mokhtar. Panggil Farah aje," ujarnya lembut sambil tangan kanannya dihulurkan tanda salam perkenalan.

Tangannya bersambut. "Ismi Aina Syahirah bintun Mohd Ariff. 'Enti' boleh panggil 'ana', Aina. Syukran kathira ya ukhti..." tingkah kenalan barunya.

Matanya terkebil-kebil memandang Aina. Dia memang kurang pandai dalam Bahasa Arab. Yang dia tahu cuma 'ana' dan 'enti' sahaja. Dia tersentak dari lamunannya.

Tiba-tiba...

... BERSAMBUNG ...

Cerpen : Darul Taqwa (siri akhir)

Posted by: Ana Mursyidah in

"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada simpanan berbungkal-bungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa nanti disambar pencuri.

"Darul Taqwa tak ada pencuri tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan siksaan Neraka."

"Ah, aku tak nak dengar semuanya! Makin gila aku dibuatnya!!" pekik Datuk Dr. Johari lantas meluru keluar dari restoran itu.

Di luar, semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi. Canggih sekali. Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas lagi besar: "KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH."

Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dengan perempuan beserta anak-anak mereka. Semuanya berpakaian sopan menutup aurat, berserban dan bertudung labuh. Isy, meluatnya!!

Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johari tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

"Datuk...! Datuk...! Bangun, Datuk. Ada berita buruk!" Datuk Dr. Johari bangun. Dia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya pada hari itu.

"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah?" tanya Datuk Dr. Johari.

"Tidak, Datuk... Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu duit. Mereka tak mahu pangkat..."

"Habis, apa mereka mahu?"

"Mereka mahu Islam, Datuk!"

"Islam?" keluh Datuk Dr. Johari. Digosok-gosok lagi matanya. Dia teringat akan mimpinya sebentar tadi...

... TAMAT...

ISLAM adalah tertinggi... Tiada yang lebih tinggi melainkan Islam..
Islam itu agama Allah, agama Allah PENYELAMAT UMMAH...
Maka ISLAM ITU PENYELAMAT UMMAH...

Cerpen : Darul Taqwa (siri 3)

Posted by: Ana Mursyidah in

Datuk Dr. Johari, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan dapat disembunyikan. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya yang hebat itu, dia masih kelihatan kolot...

Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johari. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya, satu butang berwarna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar - KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYELESAIAN dan IZRAEL DATANG TIBA-TIBA.

Oh.. Oh.. Seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ni? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr. Johari. Dia beralih ke butang hijau, tanpa berlengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer - RAJA. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA serta KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI.

Kepala Datuk Dr. Johari makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni?

"Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

"Nanti ya pak cik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda sekarang..."

"Ya, ya.. Saya setuju," balas Datuk Dr. Johari. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin mendengar lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran bergema...

"Eh.. Ni suara orang mengaji."

"Nanti dulu pak cik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah coklat itu sambil matanya ditutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema...

"Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta... Stanza hati merindui Ilahi!"

Datuk Dr. Johari tak tahan lagi. Dia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

"Maaf tuan, duit ni duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah..." Datuk Dr. Johari makin geram. Dia mendengus dan berkata, "Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia menghulurkan kad kredit warna keemasannya. "Maaf sekali lagi tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah."

bersambung...

Cerpen : Darul Taqwa (siri 2)

Posted by: Ana Mursyidah in

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johari terus merempuh masuk sebuah restoran berdekatan. Malas melayan pegawai penguatkuasa itu. "Subhanallah..." keluh tuan restoran itu sambil mengurut-urut dadanya, terkejut dengan tindakan lelaki asing itu. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Nasi beriani sepinggan!" ujar Datuk Dr. Johari kepada salah seorang pelayan.

"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu, kehairanan.

"Ya! Apa peliknya?"

"Baik tuan tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjemaah. Tuan makan seorang?" tanya pelayan berkulit hitam itu lagi. Dia bertambah geram, direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan malah hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Satu dulang ada lima orang yang menghadapnya. Aneh! Getus Datuk Dr. Johari

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr. Johari makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagaikan kera sumbang.

"Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam solat jemaah Subuh," ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang begitu kecewa. Suapannya perlahan. Seperti tak lalu makan sahaja.

"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johari pasang telinga sahaja.

"Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit... Malang nasib ana, ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu sedekah ana," keluhnya.

"Susah kita sekarang, orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita dengan terima sedekah kita. Ah! Susahnya jadi orang kaya macam kita ni, dah lar nanti di akhirat banyak hisabnya, di dunia orang yak sudi pula terima sedekah kita. Oh!" keluh seorang lagi yang bersama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dahulu, kan dapat kita korbankan harta kita yang banyak ni. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek Negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya. Saya nak melabur habis-habisan biar jadi saham akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun meneruskan makan dengan perlahan-lahan. Datuk Dr. Johari semakin pelik.

"Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran.

"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan... Berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengingatkan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan...," kata pelayan itu lagi.

"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknay marah bercampur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, jua para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat insyaallah kita tak perlu hospital!"

"Bodoh kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ni?" leternya perlahan-lahan.

"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 2005 dulu. Sekarang penyakit itu dah tak ada siapa menghidapnya...."

"Batalkan saja order saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlukan hiburan sekarang... Di mana saya boleh dapatinya?" tanyanya.

"Di sana tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma."

bersambung.....

Cerpen : Darul Taqwa (siri 1)

Posted by: Ana Mursyidah in

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya di tepi jalan.

"Assalamualaikum, pak cik. Tolong kutip kertas itu. Nanti pak cik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman," bunyi satu suara di belakangnya. Dia bingkas berpaling. Siapa yang berani menegurku? Aku Datuk Dr. Johari, orang besar negara ini.

"Pak cik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pak cik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit di kepalanya.

Datuk Dr. Johari membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu mata, tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johari terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan sofostikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah laku mereka... Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr. Johari.

"Hoi budak, aku di mana sekarang?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Adakah ini Aladin; budak Arab dengan lampu ajaibnya. Teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikiran Datuk Dr. Johari. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum... Maaf, pak cik. Kami terpaksa mendenda pak cik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendendan pak cik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Pak cik didenda, 30 kali Subhanallah, 30 kali Astaghfirullah dan selawat 100 kali," kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johari tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa? Dia nak marahkan aku?

"Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Hmm, berapa gaji kamu sebulan?" tanyanya angkuh.

"Pak cik, kami bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh... Maafkan kami, pak cik. Kami nak tanya sikit, kenapa pak cik pakai pakaian zaman dahulu? Mana pak cik dapat pakaian itu?" tanya pegawai itu pula. Aku yang gila atau dia? Detak hati Datuk Dr. Johari. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia ternampak perwatakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya yang hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul, lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kotor, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pak cik ini pakaian pemimpin. Pak cik orang besar di negara ini. Pak cik dah keliling dunia dengan pakaian ini."

"Masya-Allah pak cik. Jangan disebut-sebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada lagi orang yang berpegang dengan fahaman jahiliyah tu...

bersambung.....