Cerpen : Darul Taqwa (siri 1)

Posted by: Ana Mursyidah in

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya di tepi jalan.

"Assalamualaikum, pak cik. Tolong kutip kertas itu. Nanti pak cik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman," bunyi satu suara di belakangnya. Dia bingkas berpaling. Siapa yang berani menegurku? Aku Datuk Dr. Johari, orang besar negara ini.

"Pak cik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pak cik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit di kepalanya.

Datuk Dr. Johari membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu mata, tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johari terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan sofostikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah laku mereka... Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr. Johari.

"Hoi budak, aku di mana sekarang?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Adakah ini Aladin; budak Arab dengan lampu ajaibnya. Teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikiran Datuk Dr. Johari. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum... Maaf, pak cik. Kami terpaksa mendenda pak cik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendendan pak cik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Pak cik didenda, 30 kali Subhanallah, 30 kali Astaghfirullah dan selawat 100 kali," kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johari tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa? Dia nak marahkan aku?

"Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Hmm, berapa gaji kamu sebulan?" tanyanya angkuh.

"Pak cik, kami bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh... Maafkan kami, pak cik. Kami nak tanya sikit, kenapa pak cik pakai pakaian zaman dahulu? Mana pak cik dapat pakaian itu?" tanya pegawai itu pula. Aku yang gila atau dia? Detak hati Datuk Dr. Johari. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia ternampak perwatakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya yang hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul, lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kotor, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pak cik ini pakaian pemimpin. Pak cik orang besar di negara ini. Pak cik dah keliling dunia dengan pakaian ini."

"Masya-Allah pak cik. Jangan disebut-sebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada lagi orang yang berpegang dengan fahaman jahiliyah tu...

bersambung.....

This entry was posted on Thursday, September 25, 2008 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 Tukang Komen

Post a Comment