Gadis Cantik dan Sepotong Roti

Posted by: Ana Mursyidah in

Diriwayatkan bahawa pernah terjadi musim kemarau dalam kalangan Bani Israil. Masuklah seorang fakir di depan pintu rumah seorang hartawan seraya berkata, "Berilah sedekah kepadaku dengan sepotong roti untuk mencari redha Allah SWT". Puteri dari hartawan itu terus keluar dengan membawa roti yang masih hangat dan memberikannya kepada orang fakir itu. Lalu, datanglah hartawan yang celaka lantas memotong tangan kanan puterinya itu.

Dengan kuasa Allah SWT, hartawan itu jatuh miskin dan keadaannya berubah sama sekali. Jadilah dia seorang yang fakir dan kemudiannya meninggal dalam keadaan yang hina sekali. Sedangkan puterinya yang masih hidup, meminta sedekah dari pintu rumah ke pintu yang lain untuk meneruskan hidup. Dia adalah seorang gadis yang sangat jelita.

Satu hari, gadis itu tiba di sebuah rumah yang sangat besar milik seorang lelaki kaya. Keluarlah ibu lelaki itu dan terpandang akan kecantikan gadis tersebut. Ibu lelaki itu menyuruh gadis itu masuk ke dalam rumahnya. Dia merasa tertarik akan kejelitaan dan kerendahan hati gadis itu dan berhajat untuk mengahwinkan dengan anaknya.

Setelah gadis itu berkahwin dengan anak lelakinya, si ibu menyediakan hidangan untuk makan malam untuk pasangan pengantin yang baru berkahwin. Namun begitu, puteri itu mengeluarkan tangan kirinya ketika makan bersama suaminya. Melihat keadaan itu, suaminya berkata, "Sungguh aku memang sering mendengar bahawa orang fakir adalah kurang pendidikan. Keluarkanlah tangan kananmu, wahai isteriku".

Puteri itu tetap makan dengan menggunakan tangan kirinya walaupun berkali-kali suaminya melarangnya. Tiba-tiba, puteri itu terdengar satu suara dari sudut pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu, wahai hamba Allah. Jika benar engkau telah memberikan roti itu kerana Allah, tentu Allah akan memberikan tanganmu kepada dirimu".

Maka dikeluarkan tangan kanannya dalam keadaan utuh dan sempurna berkat kekuasaan Allah SWT dan akhirnya puteri menghadap hidangan makan malam itu bersama suaminya.



p/s: Banyakkanlah bersedekah. Semoga segala sedekah dan amalan kita diterima oleh Allah SWT lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini...

Aminn...

This entry was posted on Thursday, September 04, 2008 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 Tukang Komen

Post a Comment