Cerpen : Darul Taqwa (siri 2)

Posted by: Ana Mursyidah in

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johari terus merempuh masuk sebuah restoran berdekatan. Malas melayan pegawai penguatkuasa itu. "Subhanallah..." keluh tuan restoran itu sambil mengurut-urut dadanya, terkejut dengan tindakan lelaki asing itu. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Nasi beriani sepinggan!" ujar Datuk Dr. Johari kepada salah seorang pelayan.

"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu, kehairanan.

"Ya! Apa peliknya?"

"Baik tuan tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjemaah. Tuan makan seorang?" tanya pelayan berkulit hitam itu lagi. Dia bertambah geram, direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan malah hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Satu dulang ada lima orang yang menghadapnya. Aneh! Getus Datuk Dr. Johari

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr. Johari makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagaikan kera sumbang.

"Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam solat jemaah Subuh," ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang begitu kecewa. Suapannya perlahan. Seperti tak lalu makan sahaja.

"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johari pasang telinga sahaja.

"Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit... Malang nasib ana, ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu sedekah ana," keluhnya.

"Susah kita sekarang, orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita dengan terima sedekah kita. Ah! Susahnya jadi orang kaya macam kita ni, dah lar nanti di akhirat banyak hisabnya, di dunia orang yak sudi pula terima sedekah kita. Oh!" keluh seorang lagi yang bersama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dahulu, kan dapat kita korbankan harta kita yang banyak ni. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek Negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya. Saya nak melabur habis-habisan biar jadi saham akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun meneruskan makan dengan perlahan-lahan. Datuk Dr. Johari semakin pelik.

"Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran.

"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan... Berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengingatkan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan...," kata pelayan itu lagi.

"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknay marah bercampur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, jua para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat insyaallah kita tak perlu hospital!"

"Bodoh kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ni?" leternya perlahan-lahan.

"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 2005 dulu. Sekarang penyakit itu dah tak ada siapa menghidapnya...."

"Batalkan saja order saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlukan hiburan sekarang... Di mana saya boleh dapatinya?" tanyanya.

"Di sana tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma."

bersambung.....

This entry was posted on Saturday, September 27, 2008 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 Tukang Komen

Post a Comment