Cerpen : Kuntuman Kasih Persahabatan (Siri 8)

Posted by: Ana Mursyidah in

"Assalamualaikum..." suara Farah lembut memberi salam kepada tuan rumah. Dari dalam kedengaran suara nyaring menyambut salamnya. Bunyi derapan kaki semakin hampir. Kemudian pintu dikuak.

Kelihatan seorang wanita pertengahan umur menyambut kehadirannya. Farah mengagak itu adalah ibu Aina. 'Cantik, sepertimana cantiknya Aina,' detik hati Farah. Farah senyum dan terus menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Puan Halimah.

Puan Halimah menjemput Farah masuk dan mempersilakannya duduk di sofa merah buatan Itali sementara meminta diri untuk ke dapur. Farah melabuhkan punggungnya di sofa dan memerhatikan keadaan sekeliling rumah itu. Besar dan indah sekali, tapi sunyi sepi.


Tidak lama kemudian, Puan Halimah datang dengan menatang dulang berisi dua gelas besar air
sunquick.

"Silakan minum, nak," jemput Puan Halimah sambil menghulurkan segelas minuman kepada Farah. Farah senyum seraya mengucapkan terima kasih. "Boleh mak cik tahu apa hajat anak ke mari?"

Farah berfikir dan cuba untuk menyusun bicara. "Mak cik, dua hari lepas saya ada terima surat dari Aina yang datangnya dari Paris. Apa yang Aina buat kat sana, mak cik?"


"Anak ni tentu Farah, kan?" Farah mengangguk, lemah. "Sebenarnya sudah lama mak cik menyimpan rahsia ni. Mak cik tahu, Farah tentu sudah lama menderita. Surat yang Farah terima tu, mak cik yang hantarkan atas permintaan Aina sebelum dia berangkat ke Paris. Aina sebenarnya...." kata-kata Puan Halimah terhenti seketika. Kelihatan ada mutiara jernih yang bergenang di kelopak matanya.


"Aina sebenarnya menghidap penyakit barah otak. Dia ke sana untuk menerima rawatan lanjut, tapi mak cik dengar.... Aina sekarang...," bicaranya terhenti setakat itu. Puan Halimah menundukkan mukanya ke lantai, mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Farah. Farah seolah-olah dapat membayangkan apa yang telah berlaku.


"Mak cik, jangan teruskan ungkapan yang terakhir. Jangan biarkan ia terkeluar dari bibir mak cik," ujar Farah, sedih. Setitis demi setitis mutiara jernih gugur dari kelopak matanya yang bundar.

"Tapi Farah...," ujar Puan Halimah.


"Tidakkkk...."


Serentak dengan itu, lagu 'Kau Sahabat Kau Teman' berkumandang di corong radio saluran IKIM yang terpasang sejak tadi.

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir Yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Mamori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati


Farah terus meluru keluar dari rumah Aina dengan perasaan yang amat sedih. Tamparan itu maha hebat baginya. Tidak disangka penantian yang begitu lama dibalas dengan kehilangan Aina dari dunia ini buat selama-lamanya....



...BERSAMBUNG...

This entry was posted on Wednesday, March 17, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

1 Tukang Komen

ala...baca takat ni pun dah sedih.macM MAna ni..hurm.. :(

Post a Comment